MELAKA: Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka mendapati berlakunya resapan air ke dalam bangunan menempatkan Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan berikutan retakan di atas padang yang menyebabkan air bertakung.

Keadaan retakan itu disebabkan bebanan berpunca daripada kawasan padang di Dataran Pahlawan yang dijadikan tempat meletak kenderaan dan memunggah barangan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata dapatan forensik JKR mendapati kawasan padang di Dataran Pahlawan bukan direka sebagai tempat meletak kenderaan mahupun memunggah barang.

"Berlaku resapan air ke dalam bangunan terutama yang menempatkan Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan di bahagian bawah, menyebabkan air jatuh ke siling kapur.

"Ditambah pula dengan tindakan peniaga menyangkut barangan kraftangan di siling menyebabkan ia runtuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di sini hari ini.

Zaidi berkata antara langkah segera yang diambil Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) adalah menghalang padang berkenaan daripada dijadikan tempat meletak kenderaan dan memunggah barang.

Beliau berkata selain itu, pihak berwajib juga diarah untuk mengenal pasti keseluruhan tempat yang berpotensi runtuh semula.

Katanya, ketika ini kira-kira 20 daripada 136 lot perniagaan terjejas dengan kejadian tersebut dan kerajaan negeri belum membuat keputusan untuk memindahkan peniaga ke tempat lain berikutan tidak semua terkesan dengan insiden berkenaan.

Terdahulu, tular satu video rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat di media sosial mengenai kejadian runtuhan siling kapur pada Isnin lepas yang memperlihatkan seorang lelaki nyaris terkena runtuhan siling berkenaan.

-- BERNAMA